EPISODE · Jun 8, 2026 · 8 MIN
Membina Bank Literatur PhD dengan Notion dan Claude AI
from Audio Siar (Podcast) ADHD Dewasa Bersama Hasrizal · host Hasrizal
Sebelum pengajian PhD saya bermula pada September 2026, saya mengambil sedikit masa untuk mengemaskan semula bahan bacaan yang telah digunakan semasa menyediakan proposal PhD yang dihantar pada bulan Mei lalu. Pada peringkat ini, kerja membaca bukan sekadar membaca. Ia juga melibatkan kerja mengurus, menyusun, menanda, mengingat, dan menjejaki semula bahan yang telah, sedang, dan akan dibaca.Untuk tujuan itu, saya menggunakan Notion sebagai ruang utama untuk mengurus bahan bacaan dan hal-hal pentadbiran akademik. Saya pernah mencuba Notion ketika di peringkat sarjana dahulu, tetapi pada masa itu agak sukar untuk membina sistem daripada awal. Walaupun terdapat banyak templat percuma dan berbayar, templat tersebut masih terasa tidak sepenuhnya sesuai dengan cara saya bekerja.Kali ini, pengalaman itu berubah apabila saya menggunakan Claude AI. Saya tidak perlu membina semuanya secara manual. Saya hanya perlu meletakkan bahan secara bertabur, rawak, dan tidak begitu sistematik di dalam Claude. Kemudian, Claude membantu memproses dan menyusunnya semula ke dalam Notion mengikut struktur yang saya perlukan.Di dalam Notion, saya membina satu bahagian khusus yang saya namakan sebagai Academia Admin. Di sinilah semua tarikh penting berkaitan universiti, pengajian, dan urusan akademik dikumpulkan. Tarikh-tarikh yang muncul dalam Gmail universiti juga boleh dimasukkan secara automatik ke halaman ini, lalu membantu saya menerima peringatan dari semasa ke semasa.Saya juga memisahkan maklumat kepada beberapa bahagian. Hal akademik berada di bahagian Academia Admin. Tarikh penting dan temu janji peribadi berada di bahagian Personal. Hal-hal berkaitan kerja pula berada di bahagian Work. Pemisahan ini penting kerana ia membantu mengurangkan kekusutan mental apabila semua perkara bercampur dalam satu ruang yang sama.Untuk bahan bacaan pula, saya menyusun artikel jurnal, buku, laporan, halaman web, dan rujukan lain ke dalam satu bank literatur. Apabila saya membaca PDF dan membuat annotation, bahan itu akan diproses melalui Claude dan dimasukkan ke dalam Notion dalam bentuk nota yang lebih tersusun.Sebagai contoh, proposal PhD saya bertajuk Beyond Compliance: Muslim Educators’ Philosophical Identity as a Shaper of UDL Engagement in Irish Educational Settings. Semua bahan bacaan yang berkaitan dengan proposal ini disusun dalam Notion mengikut beberapa kategori, antaranya tajuk, nama penulis, tahun penerbitan, jenis bahan rujukan, tag, status bacaan, dan rujukan APA 7.Status bacaan juga saya bahagikan kepada beberapa kategori. Ada bahan yang masih belum dibaca, ada yang sedang dibaca, dan ada yang telah selesai dibaca. Maklumat yang sama boleh dilihat dalam bentuk senarai, kad, atau paparan lain mengikut keperluan. Ini menjadikan proses menjejak bahan bacaan lebih mudah dan lebih visual.Satu lagi kelebihan sistem ini ialah hubungannya dengan Zotero dan Google Drive. Zotero saya gunakan untuk pengurusan sitasi, manakala PDF asal disimpan di Google Drive. Apabila satu bahan rujukan dibuka dalam Notion, saya boleh melihat maklumat asasnya, ringkasan artikel, tiga isi utama, persoalan kajian, metodologi, dapatan utama, saranan untuk penyelidikan saya, nota kritikal, in-text citation, rujukan penuh APA 7, DOI, dan pautan kepada PDF asal.Di dalam PDF tersebut, saya menggunakan sistem warna untuk menanda maklumat penting. Misalnya, kuning untuk definisi, jingga untuk skop, biru untuk komponen, hijau untuk mekanisme teori, merah untuk limitasi, masalah dan jurang kajian, serta ungu untuk prinsip atau aplikasi yang berkaitan dengan tesis. Annotation ini kemudiannya dibaca oleh Claude dan disusun semula dalam Notion sebagai nota penyelidikan.Bagi saya, sistem sebegini sangat membantu fungsi eksekutif. Apabila jumlah rujukan semakin bertambah, saya tidak mahu terlalu bergantung kepada ingatan semata-mata. Saya perlu tahu apa yang telah dibaca, apa yang sedang dibaca, apa yang belum dibaca, dan apa yang penting untuk kembali dirujuk kemudian.Saya pernah terfikir untuk menjadikan sistem ini sebagai templat yang boleh digunakan oleh orang lain. Namun, khususnya bagi individu ADHD, saya lebih cenderung mencadangkan agar sistem seperti ini dibina sendiri dengan bantuan Claude atau alat AI yang sesuai. Ini kerana setiap individu mempunyai cara membina, menyusun, dan memproses maklumat yang berbeza. Walaupun diagnosis mungkin sama, cara bekerja tidak semestinya sama.Dalam penyelidikan sarjana saya dahulu, hal ini juga muncul sebagai dapatan penting. Individu ADHD tidak semestinya mendapat manfaat yang sama daripada tip ringkas atau templat umum. Sesuatu sistem akan lebih berkesan apabila ia dibina berdasarkan cara berfikir, keperluan, dan corak kerja individu itu sendiri.Proposal PhD saya telah dihantar untuk dinilai oleh panel penganugerahan biasiswa. Saya memohon Trinity Research Doctorate Award melalui kategori terbuka berasaskan fakulti. Saya tidak memohon melalui kategori students with disability kerana, setelah mengenali diri sendiri dan memahami cara saya bekerja, saya merasakan mungkin ada individu lain yang lebih memerlukan laluan tersebut.Alhamdulillah, proposal saya mendapat tempat pertama dan saya terpilih menerima penajaan penuh dalam bentuk yuran pengajian dan wang sara hidup bulanan selama empat tahun, sehingga tamat pengajian. Award ini terbuka kepada calon PhD tempatan, calon dari Kesatuan Eropah, dan juga pelajar antarabangsa.Maklumat mengenainya saya letakkan di bahagian kapsyen untuk rujukan sesiapa yang berminat mencuba pada tahun-tahun akan datang. Mohon selitkan saya dalam doa. Perjalanan ini panjang dan mencabar, tetapi mudah-mudahan manfaatnya dapat dikembangkan kepada komuniti dan umat secara lebih luas, insya-Allah. Get full access to ADHD DEWASA at adhddewasa.substack.com/subscribe
NOW PLAYING
Membina Bank Literatur PhD dengan Notion dan Claude AI
No transcript for this episode yet
Similar Episodes
Mar 26, 2026 ·1m
Jan 2, 2026 ·47m
Dec 21, 2025 ·46m